Tuesday 22 January 2013

Perspektif Jodoh

PERSPEKTIF JODOH


Yang Salah ==> Jodoh tak perlu dicari..
Yang Sebetulnya ==> Allah menyuruh manusia berusaha.

Yang Salah ==> Perempuan hanya perlu menunggu..
Yang Sebetulnya ==> Sayidatina Siti Khadijah meminang Rasulullah s.a.w.

Yang Salah ==> Perempuan tidak banyak pilihan, sebaliknya lelaki banyak pilihan..
Yang Sebetulnya ==> Perempuan berhak memilih.

Yang Salah ==> Alang-alang sudah terlanjur, diteruskan sahaja kerana tidak mungkin lagi untuk menemui lelaki/perempuan yang baik..
Yang Sebetulnya ==> Allah sentiasa membuka pintu taubat kepada hamba-Nya.

Yang Salah ==> Pasangan yang banyak perbezaan, tidak kekal dalam perhubungan..
Yang Sebetulnya ==> Perbezaan boleh menjadikan pasangan saling lengkap-melengkapi.

Yang Salah ==> Perlu bercinta sebelum berkahwin..
Yang Sebetulnya ==> Ramai pasangan yang bercinta gagal ke gerbang perkahwinan atau perkahwinan tidak kekal. Islam menganjurkan cinta selepas kahwin.

Yang Salah ==> Pasangan yang bercinta perlu merapatkan hubungan dengan sentiasa ber'SMS' dan berjumpa..
Yang Sebetulnya ==> Selagi belum berkahwin, syariat membataskan hubungan antara pasangan. Mereka tidak dibenarkan bebas berjumpa atau ber'SMS' sehingga melalaikan.

Yang Salah ==> Janji manis pasangan harus dipercayai. Contohnya seorang lelaki yang berkata kepada teman wanitanya, "I tidak ada harta, tetapi I ada cinta"..
Yang Sebetulnya ==> Lelaki demikian sebenarnya tidak bertanggungjawab kerana tidak bekerja keras mengumpul kewangan untuk menyara bakal pasangannya. Hidup berumah tangga memerlukan banyak tanggungjawab yang perlu disempurnakan termasuk menyediakan keperluan untuk ahli keluarga. Semuanya memerlukan belanjawan.

Yang Salah ==> Contoh yang lain: "I tidak akan usik U sebelum kita nikah"..
Yang Sebetulnya ==> Dengan sebab wanita mempercayai lelaki, dia mula mengikuti pasangannya ke mana sahaja yang dibawa. Oleh itu, tidak hairanlah apabila realiti menunjukkan ramai pasangan sebegini akhirnya terjebak dalam kancah perzinaan. Nauzubillah..

Semoga kita sentiasa dalam lindungan-Nya, terhindar dari gangguan syaitan & dari manusia-manusia yang berhasad dengki...Aminn


60 Petua Mendapat Pasangan Dari Dato' Fadzilah Kamsah


1) Semua orang ada jodoh @ pasangan yang menanti dan biasanya ia berada tidak jauh dari anda. Jarang orang bertemu dengan jodoh yang jauh darinya.

2) Jodoh itu ketentuan Allah dan kita wajib berusaha. Doa, usaha yang betul dan bersungguh-sungguh disertai dengan tawakal, in shaa Allah akan menemukan anda dengan pasangan anda.

3) Ramai orang masih belum bertemu jodoh kerana mudah patah semangat. Teruskan usaha sehingga anda bertemu jodoh anda.

4) Seimbangkan hidup anda dengan sempurna agar diri anda seperti "magnet" yang menarik bakal pasangan anda kepada anda.

5) Daya tarikan yang sebenar berpusat di hati yang murni. Berusahalah untuk mencuci hati anda daripada semua perasaan yang negatif terhadap semua orang di dunia ini.

6) Agar mudah orang sayang, cuci hati dengan jaga ibadah, solat taubat, beristighfar, baca Al-Quran, maafkan orang lain, meminta maaf, bersedekah dan berfikiran positif.

7) Sayangi semua orang di sekitar anda dan anda akan menarik sayang orang terhadap anda. Jika anda membenci orang, ditakuti bakal pasangan akan membenci anda.

8) Orang yang sedang mencari pasangan harus sentiasa bersedia untuk bertemu dengan pasangannya pada bila-bila masa. Justeru, anda perlu sentiasa dalam keadaan yang paling menarik setiap masa. Tanggapan pertama adalah penting.

9) Untuk lelaki, tarikan pertama adalah pakaiannya. Untuk perempuan, wajah dan bentuk badan menjadi tarikan pertama. Sediakan diri untuk menawan bakal pasangan anda.

10) Buka hati dan minda anda untuk menerima cinta. Cinta boleh berputik pada bila-bila masa. Cinta mudah datang pada mereka yang bersedia untuk menerima cinta.

11) Cinta datang melalui mata lalu turun ke hati. Justeru, perhebatkan hubungan mata secara memandang bakal pasangan dengan penuh kasih sayang.

12) Kita boleh berkomunikasi melalui fikiran. Hantarlah kasih sayang dan hasrat murni anda terhadap pasangan dengan gelombang fikiran ini secara berterusan hingga berjaya.

13) Ramai yang terlepas peluang dan patah hati sebab lewat menyatakan hasrat kepada bakal pasangan. Perkara yang baik disegerakan (iaitu menyatakan perasaan anda kepada bakal pasangan).

14) Tidak salah untuk orang perempuan memulakan usaha untuk berkenalan. Orang lelaki akan sentiasa merasakan mereka yang memulakan perkenalan walaupun sebenarnya orang perempuan yang mulakan.

15) Berkomunikasi dengan mesra dan bersemangat menggunakan lidah, mata, hati dan bahasa badan. Elakkan bercakap sambil lewa atau kurang sopan terhadap bakal pasangan.

16) Berbual dengan pasangan mengenai apa yang dia suka. Beri tumpuan kepada minat dan perasaannya. Elakkan sibuk memberi tumpuan kepada diri sendiri.

17) Layan bakal pasangan dengan mesra seperti kawan lama walaupun baru berkenalan. Bentuk suasana keintiman dengan segera agar bakal pasangan rasa selesa.

18) Makin mudah kita menceritakan hal peribadi yang munasabah kepada bakal pasangan, semakin mudah dia menceritakan hal dirinya kepada kita.

19) Berdoa dan latih diri agar kita pandai mendampingi orang lain dan seronok untuk didampingi oleh orang lain. Buang perangai yang menyebabkan orang benci kepada kita.

20) Beri sayang untuk mendapat sayang. Orang yang masih ada perasaan benci terhadap sebarang orang boleh menyebabkan bakal pasangan benci atau tidak tertarik kepada kita. Justeru, buang semua benci.

21) Untuk wanita, jangan jual mahal terhadap bakal pasangan. Tetapi, nyatakan dengan hikmah kepadanya yang anda amat sukar untuk berkenalan dengan lelaki lain.

22) Kebanyakan lelaki mudah tertarik kepada perempuan yang simple, tidak materialistik, mudah berterima kasih dan redha dengan setiap pemberian lelaki tersebut.

23) Orang perempuan mudah tertarik kepada lelaki yang memberi perhatian, penghargaan dan penghormatan kepada mereka. Justeru, orang lelaki janganlah terlalu jimat @ kedekut.

24) Orang lelaki perlu belajar mengenal kerenah orang perempuan, perasaan, pemikiran, kehendak, keperluan, kesukaan dan kebenciannya.

25) Elakkan memberi tumpuan kepada kelemahan dan kesilapan kecil yang ada pada bakal pasangan. Jangan sesekali mengutuk atau memalukan bakal pasangan.

26) Senyuman ikhlas, wajah yang menawan dan bahasa badan yang penuh kemesraan akan menambat lelaki terhadap wanita.

27) Orang mudah tertawan kepada bakal pasangan yang ada persamaan dan ada perbezaan sifat, tindakan dan minat. Terlalu banyak persamaan membosankan. Banyak sangat perbezaan menyesakkan.

28) Orang mudah tertarik kepada kepada bakal pasangan yang ada sikap dan sifat yang saling mengimbangi dan melengkapkan sikap dan sifatnya.



29)  Walaupun belum kenal rapat dengan bakal pasangan, nyatakan yang anda sering merasa atau berfikir seperti yang dia rasa atau fikir. Keserasian adalah tarikan.

30.) Perempuan membentuk hubungan dengan berbual dan bercakap. Lelaki bentuk hubungan dengan melakukan sesuatu kegiatan secara bersama.

31)  Orang mudah tertawan kepada bakal pasangan yang mempunyai persamaan daripada berbagai segi seperti kefahaman politik, aktiviti keagamaan, sikap terhadap harta, wang dan hobi.

32) Dua orang yang amat banyak perbezaan boleh serasi antara satu sama lain jika mempunyai satu atau dua persamaan yang mendalam seperti suka kepada kucing, suka melancong atau suka ramai anak.

33) Tindakan yang serentak akan menarik bakal pasangan terhadap anda. Contohnya, serentak berpaling, serentak angkat gelas, serentak berdiri, serentak nak ke tandas.

34) Tawan hati bakal pasangan dengan pamerkan emosi yang sama terhadap sesuatu kejadian atau peristiwa – sama-sama gembira, sedih, terperanjat, benci, simpati dan sebagainya.

35) Dua insan mudah serasi jika mempunyai pentafsiran yang sama mengenai hubungan – tahap keakraban, kebebasan, kebergantungan, pemberian, pengorbanan dan sebagainya.

36) Kenalpasti ciri-ciri yang disukai oleh bakal pasangan anda. Bentuk ciri-ciri yang disukai oleh bakal pasangan anda. Bentuk ciri-ciri ini dalam diri anda dan pamerkan kepadanya yang anda mempunyai ciri-ciri tersebut.

37) Semua orang mencari cinta sejati tanpa syarat. Bakal pasangan anda akan tertarik kepada anda jika anda mengasihinya bukan kerana wajah, harta, keturunan atau glamornya.

38) Bakal pasangan akan tertawan kepada anda jika anda dapat bantu mengukuhkan imej dirinya, rangsang semangatnya dan pupuk keyakinan dirinya.

39) Keikhlasan amat penting dalam memuji atau memotivasi bakal pasangan. Jika kita didapati bohong, dia akan terus menjauhkan diri daripada kita.

40) Pujian yang berhikmah dan ikhlas bertindak sebagai magnet yang menarik anda kepada bakal pasangan. Pujian daripada kawan baru lebih bermakna dan berkesan berbanding pujian daripada kawan lama.

41) Ulang sebut perkataan, ayat atau slogan yang digemari bakal pasangan anda. Ini menyebabkan dia rasa istimewa dan dihargai dan akan tertawan kepada anda.

42) Kenalpasti keistimewaan bakal pasangan anda yang orang lain tidak nampak. Sampaikan kehebatan ini dengan bersemangat dan dia akan mudah tertawan kepada anda.

43) Untuk bakal pasangan yang popular dan sering dipuji , cari pujian yang original untuk menambat hatinya. Untuk orang yang tidak popular, sebarang pujian amat dialukan dan dihargai.

44) Beri penghargaan serta merta kepada setiap pencapaian atau kejayaan bakal pasangan. Ini membelai dan melembutkan hatinya terhadap anda.

45) Jika bakal pasangan memuji anda, pamerkan keseronokan anda dengan senyuman dan ucapan terima kasih dan bersyukur. Dia akan rasa dihargai.

46) Cari keunikan, kelucuan atau ‘kegilaan’ bakal pasangan anda. Nyatakan yang anda suka kepadanya sebab keunikan tersebut. Ini buat dia rasa istimewa.

47) Ramai pasangan sengsara bila isteri terlalu cantik atau suami terlalu handsome. Justeru, cari bakal pasangan yang setara dan sepadan dengan kita.

48) Orang yang merasa dirinya hodoh sukar untuk mendapat pasangan. Carilah kecantikan yang ada pada anda dan bentuk keyakinan diri. Hati yang suci dan keyakinan yang tinggi menyerlahkan kecantikan anda.

49) Wanita mudah tertawan kepada lelaki yang gentleman – bersopan santun, suka membantu, menghormati wanita, berani dan yakin diri.

50) Untuk jadi lebih menawan, berterusan belajar, perbaiki perangai dan peribadi, baiki kemahiran komunikasi, murnikan hati, pemaaf dan sentiasa bersangka baik.

51) Lelaki harus mempamerkan sifat kelelakiannya di samping memasukkan sifat perempuan dalam dirinya seperti lebih prihatin, memahami emosi , timbang rasa, dan gunakan gerak batin.

52) Perempuan harus mempamerkan sifat kewanitaan disamping menghayati sifat lelaki seperti minat dalam politik, sukan, memancing, dan aktiviti macho yang lain. Bertindak bijak tapi, jangan terlalu bijak.

53) Untuk menambat hati wanita, kerap bertanya tentang perasaannya, aktiviti yang dijalankannya, kegemarannya, kebenciannya atau sebarang perkara yang berkaitan dengan emosi.

54) Sebelum benar-benar rapat, orang perempuan harus elakkan diri dari bertanya bakal pasangan mengenai perasaannya mengenai sesuatu perkara, peristiwa atau situasi.

55) Orang lelaki amat pantang bila bakal pasangan menempelak atau menunjukkan kesilapan atau kebodohan lelaki tersebut. Ini cara terbaik memutuskan hubungan.

56) Orang perempuan mudah tertawan kepada lelaki yang boleh mengaku salah, meminta maaf, meminta bantuan, bertolak ansur, pandai mendengar, bersabar dan lemah lembut terhadap wanita.

57) Bila bercakap dengan lelaki, orang perempuan harus fokus kepada fakta dan sampaikan secara ringkas. Penjelasan yang berjela-jela dan memasukkan unsur perasaan akan membunuh minat lelaki terhadapnya.

58) Jika orang perempuan marah, pujuklah dengan kasih sayang. Tanya Kenapa dia marah, dengari dengan teliti dan jangan komen atau cuba beri nasihat. Orang perempuan mudah sayang pada lelaki yang pandai mendengar dan sensitif kepada perasaannya.

59) Jika lelaki marah, jangan sibuk nak tanya Kenapa dia marah. Pamerkan kasih sayang dan bentuk suasana yang tenang. Doakan dia dan beri masa untuk dia merawat dirinya sendiri.

60) Fahami bahawa orang lelaki bercakap secara terus terang, ringkas dan objektif. Orang perempuan sering bercakap secara berlapik, terperinci dan banyak yang tersirat.



Friday 4 January 2013

Pantun




Saya teringat dulu semasa mula-mula berkenalan dengan suami, kami berbalas-balas pantun di telefon..memang kelakar..memang old fashion betul..haha..tapi dari situ la saya tau yang mamat ni seorang yang boleh diajak bergurau & sporting..dia layan gak walaupun berbalas pantun..Pantun ni bagus kalau nak tau seseorang tu spontan atau tak..tak caya?cuba la pada orang yang anda berkenan tu..huhu..semoga berjaya..ni sikit pantun nasihat:


Jangan Tersalah Pilih

Siti Wan kembang dari Kelantan,
Nama mashur zaman dahulu,
Baik-baik memilih intan,
Jangan terbeli kaca dan batu.

Pergi ke pantai menjala ikan,
Dapat seekor ikan gelama,
Baik-baik memilih intan,
Jangan terpilih batu delima.

Pilih-pilih tempat mandi,
Pertama teluk kedua pantai,
Pilih-pilih tempat menjadi,
Pertama elok kedua pandai..

 Kasih Lelaki

Cempedak tangkainya manis,
Tetak tengar dibakar jangan,
Sewaktu hendak mulutnya manis,
Boleh didengar dipakai jangan.

Apa didapat orang berburu,
Dapat rusa jantan betina,
Makan rumput celah batu,
Bila mendapat bunga yang baru,
Bunga lama tidak berguna,
Adat dunia sudah begitu.

Buah langsat kuning mencelah,
Senduduk tidak berbunga lagi,
Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.

Api-api unggunan kandis,
Tumpah damar di kulit tengar,
Laki-laki mulutnya manis,
Bila bersumpah jangan didengar.

Harung wangkang pergi ke Kedah,
Tidak saya ke Jawa lagi,
Tanjung dan teluk lagikan berubah,
Inikan pula hati lelaki.

Dari Bentan ke Tanjung Kandis,
Belayar dengan angin utara,
Bila di depan mukanya manis,
Balik belakang lain bicara.

Jalan-jalan di atas karang,
Ada balai di pinggir kali,
Main cinta jangan kepalang,
Baik difikir seribu kali.


Kasih Perempuan

Dekat selasih merak melayang,
Mata kucing dalam tepak,
Adakah kasih saya tak sayang,
Kerana miskin puan tak nampak.

Anak itik berenang balik,
Menyelam takut akan lemas,
Saya tanam budi yang baik,
Puan tetap memandang emas.

Anak Cina pergi berjudi,
Judi mari tanah seberang,
Penat saya menabur budi,
Budi tidak dipandang orang.

Banyak orang di Bukit Cina,
Sayang Cik Ali menebang kayu,
Bagi puan ringgit berguna,
Budi saya terbuang lalu.


Jangan Kecewa

Pokok sena dahan bercantum,
Nampak sarang burung terkukur,
Kalau bunga bukan sekuntum,
Kumbang juga bukan seekor.

Rumput manis cemperai hidup, 
Lada muda perca kain,
Jangan menangis bercerai hidup,
Sama-sama cari yang lain.

Di sini khoja di sana khoja,
Sama-sama berjual kain,
Dia muda kita pun muda,
Sama-sama cari yang lain.

Buah bacang setangkai lebat,
Mari dikendong di dalam kain,
Dipancing-pancing kalau tak dapat,
Baik beralih ke tempat lain.

Buah bidara buah keranji,
Buah kurau buah berangan,
Hilang di mata dapat diganti,
Lepas di tangan dikenang jangan.

Dari Arab turun ke Acheh,
Naik ke Jawa berkebun serai,
Apa diharap hati yang kasih,
Badan dan nyawa lagi bercerai.

Pantai Cendering pasirnya putih,
Anak dagang berulang mandi,
Apa dikesal orang tak kasih,
Sudah suratan diri sendiri.




Nukilan dari buku Koleksi Pantun PTS